Thursday, August 20, 2009

Memberi dan memberilah...Jangan hanya menerima!

Kalau niat kita baik, mesti Tuhan akan tolong dan buka jalan. Yang penting kita ikhlas!!!

Contoh terbaik yang dapat aku beri bila mana hari ini aku ditugaskan untuk buat liputan tentang rumah anak yatim yang diasaskan oleh Ustazah Azizah bersama arwah suaminya sejak tahun 1984 dulu. Ustazah Azizah lebih senang disapa sebagai Umi.
Sedikit bosan bila dapat tugasan macam ni! Dah terbiasa sangat dengan jemputan sebegini. Al maklumlah Ramadan dah nak dekat. Berlumba-lumbalah badan2 kebajikan dan orang perseorangan yang nak buat amal, nak dapat lebih keberkatan, katanya.
Aku ke Kajang, rumah pasangan usahawan terkenal, berpangkat Datuk. Turut serta, salah seorang editor Sinar Harian, wartawan majalah NUR, wartawan Kosmo dan wartawan Harmoni.
Apa kaitan antara Umie dan pasangan usahawan ini???

Aku tak mahu cerita tentang rumah Datuk yang maha besar itu walau aku adalah salah seorang daripada rakyat Malaysia yang mengkagumi usahawan tabah dan berjiwa kental itu.

Aku cuma mahu ceritakan tentang keprihatinan mereka terhadap masyarakat. Aku tak tahu berapa banyaknya duit dan harta mereka, tapi setahu aku mereka memang berjaya, ada duit, sangat suka membantu dan buat kerja amal.

Beradanya aku di rumah Datuk hari ni disebabkan Datuk bersetuju menghulurkan bantuan kepada Ma'ahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah yang terletak di Maran, Pahang, dan diasaskan oleh Umi itu.
Kata Datuk, dia terpanggil untuk menderma setelah melihat kesungguhan Umi mengumpul, mengasuh dan mendidik anak-anak yatim serta mereka yang bermasalah dengan pengisian ilmu yang berguna sejak tahun 1984 lagi.

"Saya bukan setakat mahu membantu, apa yang lebih penting mahu menjadikan mereka generasi yang faham dan cerdik didikan agama. Walaupun saya melayan mereka seperti anak sendiri, setiap kesalahan pasti akan ditegur dan dijatuhkan hukuman. Disiplin tetap disiplin," tegas Umi, bekas pendidik ini.

Setakat hari ini, rumah kebajikan ini mempunyai lebih kurang 20 pelajar. Paling tua umurnya 16 tahun dan paling muda 6 tahun. Blok bangunan yang ada sehingga sekarang ialah 6 buah kesemuanya, lengkap dengan bilik belajar, surau dan kemudahan lain.

Paling membanggakan, sejak ianya dibuka, rumah kebajikan ini telah berjaya melahirkan kira-kira 400 lulusan universiti Al-Azhar. Syukur ke hadrat Ilahi dan tabik spring jugak kat Umi!!!

Namun, Umi mengaku dana untuk membiayai mereka di situ masih tidak cukup. Sebab itulah Umi sangat bersyukur dan rasa terharu giler bila Datuk bersetuju menjadikan rumah amal yang diasaskan bersama arwah suaminya itu sebagai anak angkat yayasan kepunyaan Datuk.
Ketika pertemuan dengan Datuk, sempat jugalah dia memberi sepatah dua kata tentang yayasan yang baru saja ditubuhkan ini.
Cukup menarik hujah dan percakapannya. Datuk percaya kepada konsep sedekah dan janji Allah yang benar kepada orang yang suka bersedekah dan menderma.

"Kalau kita tak 'memberi', buat apa pun tak akan menjadi. Jadi kita tidak boleh berhenti memberi."

"Tak timbul soal riak di sini. Bagi saya setiap kebaikan harus dizahirkan supaya dapat dijadikan contoh dan tauladan oleh mereka yang lain," katanya.

Pun begitu katanya, sebagai usahawan dia mahu kebajikan itu diselenggara dengan lebih baik, sempurna dan diuruskan secara korporat. Sebab itulah diwujudkan yayasan ini.

"Yayasan ini juga adalah sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan berteraskan kebajikan, infaq dan sedekah, bukan untuk cari keuntungan peribadi, di samping mahu memperkasa agama, bangsa dan negara," katanya.

Sebelum pulang, seperti biasa Datuk bermurah hati memberikan kami sedikit cenderahati. Terima kasih, semoga kita sama2 mendapat keberkatan dan keredhaan dari-Nya! Amin...

No comments:

Post a Comment