Friday, October 9, 2009

Rakus dan berselera menikmati Papadom...

Bercerita tentang filem dan hasil kerja Afdlin Shauki, sekurang-kurangnya 5 daripada 10 orang tak teragak-agak akan menaikkan dua ibu jari mereka setegak mungkin. Beratur panjang mendapatkan beberapa helaian tiket untuk lepas masuk menonton filem milik pengarah comel ini, bukan masalah besar bagi peminat karya milik insan bernama Afdlin. Apalah sangat barisan yang panjang itu kalau mahu dibandingkan dengan kepuasan menontonnya yang sudah pasti; barangkali itulah keyakinan yang ada di kepala setiap peminat filem dari pengarah berbakat, berbadan dan selalu menang anugerah besar, saudara Afdlin Shauki.

5 anugerah yang digondol Papadom dalam FFM22 baru ini turut membuatkan aku kepingin menikmati keenakan Papadom itu dengan sendiri, tanpa mahu mendengar orang lain sahaja yang bercerita tentang 'kelazatan'nya. Syukur, dengan izin Tuhan, aku telah menontonnya, sehari sebelum Papadom ditayangkan kepada umum, atas jemputan seorang teman sambil aku pula membawa beberapa lagi teman yang lainnya.


Mudah sahaja untuk bercerita tentang Papadom sebenarnya! Bagaimana mudah, ringkas dan ringannya makanan bernama Papadom, begitu jugalah dengan kisah filem berjudul unik ini.
Boria, lagu Negaraku dan dua sahabat Saadom yang berbangsa Cina dan India yang dipilih menjadi sebahagian daripada elemen pembukaan kisah aku lihat cukup menarik dan tepat sekali dipadankan dengan konsep, suasana dan latar belakang cerita.
Paling menarik aku kira, tentulah adegan sekeping Papadom mentah yang digoreng dalam minyak panas dan terus menggelembung, siap untuk dikunyah pelanggan gerai di dalam cerita. Sementara di panggung pula, melihat Papadom panas yang digoreng itu telah membuatkan aku dan pelanggan panggung yang lainnya membuka mata lebih luas, membetulkan tempat duduk ke kedudukan yang lebih selesa, bersiap-sedia menikmati dan menghayati Papadom dengan lebih rakus lagi walau kepingan Papadom yang sebenar tiada di tangan untuk dikunyah tatkala menonton.
Papadom yang terhidang ketika satu jam yang pertama memang enak sekali, lebih2 lagi bagi mereka yang sudah sekian lama menahan selera, menunggu filem menang anugerah ini dihidangkan di panggung. Sudah konsepnya pun komedi-drama, maka tidak hairanlah panggung hingar dengan gelak-tawa penonton terutama setiap kali melihat gelagat Saadom dan isterinya, Mun (Norkhiriah) bersama si comel Miasara (Liyana Jasmay) yang masih kecil.
Papadom yang tampil 'ringan' itu kemudiannya menjadi sedikit serius apabila Saadom yang berjaya dalam perniagaannya, ditakdirkan kehilangan Mun. Sedih, namun masih tidak meninggalkan unsur komedi, ramai yang terusik hati melihat Saadom gigih membesarkan Mia dengan stailnya sendiri. Jarang-jarang ditemui bapa seperti Saadom di Malaysia, namun tak mengapa dan maafkan sajalah; kerana watak fantasi bapa yang terlalu penyayang dalam filem ini nampaknya masih logik dan boleh diterima akal.

Latar dan suasana Papadom berubah sama sekali apabila Mia ke UiTM. Kerana terlalu sayangkan anak, Saadom dalam diam menjejaki Mia, bimbang Mia tidak mampu berdikari atau diapa-apakan. Di situ jugalah tampil lebih banyak watak2 tambahan ibarat penambah rencah yang dirasakan mampu menyedapkan lagi Papadom yang sudah sememangnya sedap itu.

Sekadar pendapat dan bercerita dari sudut pandangan sendiri, kerancakan menikmati Papadom kian berkurang di pertengahan cerita. Aku tak pasti kenapa. Mungkin kerana aku sama sekali tidak dibawa keluar ke lokasi atau latar yang lain, hanya diajak mengikuti konflik dan kisah Saadom, Mia dan rakan2nya dari dalam kampus sahaja. Terasa seperti menonton sebuah filem ringan, khusus untuk anak-anak remaja pun iya juga, apatah lagi bila aku terperasan dan dapat mengesan sebenarnya watak Mia terlalu dekat dengan usia dan gaya hidupnya yang sebenar. Mujurlah ada jenaka Saadom yang berkomunikasi dgn alam dan tumbuhan hijaunya!

Timbulnya rasa seperti itu mungkin juga kerana aku sudah terlalu 'kenyang' menikmati babak2 awal Papadom yang sempurna rasanya dan penggayaan persembahannya pada awal cerita. Sepatutnya, sebaik Papadom mula ditayangkan, aku harus menikmatinya secara santai, bukan dgn cara rakus dan terburu2. Tidaklah kenyang dan mengah di pertengahan jalan!

Dan, barangkali juga perasaan itu wujud kerana aku terlalu meletakkan harapan tinggi bahawa Papadom yang disajikan dengan aneka 'ramuan' istimewa seperti Farid Kamil, Scha dan Que Haidar akan membuatkan ia bertambah enak, atau sekurang-kurangnya mampu mengekalkan kelazatan yang dipersembahkan sedari awal. Apabila 'adunan' itu dirasakan kurang menjadi, maka Papadom mula sedikit hilang rasa dan aku sedikit terbantut selera.

Namun, sebagai pelakon dan pengarah terbaik, Afdlin berjaya menjadikan Saadom sebagai penyedap Papadom sehingga ke akhirnya.

Menjadi peniaga kecil-kecilan, usahawan kaya-raya, suami dan bapa penyayang serta tukang kebun dalam sebuah filem yang sama, Saadom bijak mengimbangkan elemen komedi dan elemen menyentuh hati, tanpa perlu berhempas-pulas untuk menonjolkan mesej berguna kepada penonton kerana mesej, nilai murni dan pengajaran yang ingin diketengahkan sebenarnya sudah meresap masuk dalam jiwa penonton dari awal cerita lagi.
Tak keterlaluan juga dikatakan watak Syukur dan Balqis yang sedikit itu juga memberi impak besar terhadap filem ini. Vanida Imran dan Harun Salim Bachik telah membuktikan bahawa kuantiti tidak semestinya menjamin kualiti. Walau kedua anak seni ini hanya beberapa kali muncul, tetapi tanyalah kpd sesiapa pun yang pernah menonton Papadom, pasti mereka tidak pernah melupakan kewujudan dua watak ini.
Aku bukanlah orang bijak pandai untuk memberi komen bernas tentang filem. Tetapi, untuk memberi pendapat aku sentiasa bersedia. Sebab itulah aku menzahirkan entri ini di sini.
Apa pun, Papadom aku kira sebuah filem yang berjaya. Belum sempat ditayangkan, ia sudah berjaya mencetus histeris bila mana ramai yang tidak sabar untuk menontonnya. Dan sesudah menonton, berjaya pula mencipta dan menempa historynya sendiri.
Menonton Papadom ternyata tidak merugikan dan tak akan memberi penyesalan. Bagi yang belum dan bakal menonton Papadom, nikmatilah filem ini seperti anda makan Papadom, bukan nasi kandar.
Makan papadom tak mengenyangkan kerana ia sekadar lauk sampingan, tetapi sekurang-kurangnya Papadom mampu menjadi filem pembuka selera di saat penonton hilang selera untuk ke panggung menonton filem tempatan yang lainnya.

No comments:

Post a Comment